Oleh YBhg Tun Dr.
Mahathir Mohamad
Saya
menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat
Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja
yang ingin membacanya.
Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu
saya hebahkan dengan cara ini kerana pada
akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya
yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik
atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk
menghadiri sidang akhbar saya.
Mengenai isu di
atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu
Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan
kedaulatan negara. Akibat daripada itu negara
mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini
adalah wang rakyat.
Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk
Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia
yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana
isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang
tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta
penjualan pasir kepada Singapura, dan ini
disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak
mahu jambatan. Rakyat mahu jambatan tetapi menolak
syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan
hak Singapura.
Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat
antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan
tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.
Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan
tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh
Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan
sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan
jadi kenyataan.
Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis
oleh suatu pihak dengan memetik
persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai
di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin,
adalah tidak sah.
Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah
dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan
ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan
yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu
pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah
tidak sah.
Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan
Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan
empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian
merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya
sendiri kepada pihak ketiga. (sila
lihat Apendiks 1)
Berdasarkan
surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya
akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian
terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak
mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat
dan tidak disahkan.
Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati
amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan
beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih
dan tidak kurang. Tindakannya mencetak
surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah
bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika
saya membalas surat itu dan mengesahkan
perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara
berkenaan boleh dianggap benar. Tetapi sama ada ia
sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada
pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak,
secara rasmi.
Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut “pakej” dan
ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah
kerana kelulusan yang berasaskan “pakej” tidak
praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai
mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan
tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej
itu.
Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik
Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan
perkara demi perkara secara berasingan. Ini
siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong
selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh
Oktober 14 2002 (sila
lihat Apendiks 2) yang
antara lain menyebut;
“Pada
penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita
perlu
mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik.
Saya
bersetuju....”
Tetapi di dalam
surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;
“Oleh yang
demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda
bertarikh 7hb Oktober pada l0hb Oktober di mana anda
menyatakan “Malaysia telah memutuskan untuk tidak
meneruskan pendekatan pakej……”
JAMBATAN
Setelah
menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang
isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan
sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat
tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di
dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan
Perdana Menteri Goh Chok Tong.
Dalam sepucuk surat (sila rujuk
Apendiks I perenggan 6)
kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata;
“Mengenai
cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana
Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya
tetapi mencadangkan agar kita tidak
merobohkan Tambak Johor.”
Nampaknya rakyat
Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan
baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk
akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah
bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah
di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa
sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti
hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini
berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.
Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya
Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu);
“Singapura akan menambak laut di sebelah
wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.”
(rujuk
Apendiks 3, surat Menteri Kanan Lee kepada Dr
Mahathir bertarikh Sept 8, 2001)
Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat
Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam.
Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah
di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak
laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia
bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal.
Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan
dasar laut paling dalam? Dalam surat yang sama
kepada Daim (rujuk
Apendiks I perenggan 12),
Menteri Kanan Lee berkata;
“Saya sentiasa
memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri
saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun,
berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga
peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan
teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.”
Menteri Kanan
Lee juga menulis (Apendiks
1, perenggan 12); “semua nota
atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada
Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai
Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan
ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara
dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua
Perdana Menteri.”
Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa
untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu
memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk
dikaji sebelum dipersetujui. Jika tidak, maka tidak
akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara
sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh
kedua-dua Perdana Menteri.
Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal
Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri
Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001
(sila rujuk
Apendiks 4, perenggan
10), berkata;
“Saya harap anda
juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang
dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta
api merupakan perhubungan yang sangat berharga ……..
Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara
Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua
buah Negara……... Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik
negara anda, Singapura akan mematuhi
keputusan anda”.
Dalam surat ini,
Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya.
Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh
tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami
adalah tanpa prejudis.
Namun begitu, apabila beliau atau Perdana Menteri
Goh Chok Tong dan saya sendiri menurunkan
pandangan-pandangan kami dalam bentuk tulisan, ia
menggambarkan apa yang kami fikirkan. Tetapi oleh
sebab ia dilakukan tanpa prejudis, kami tidak
terikat dengan apa yang kami katakan.
Justeru itu, tidak timbul persoalan berdolak-dalik
atau memindahkan tiang gol. Kedudukan tiang gol
belum diputuskan. OIeh sebab apa yang dilakukan itu
berasaskan konsep tanpa prejudis, maka ia tidak
Iebih daripada cadangan sahaja.
Dalam surat bertarikh 11 April 2002
(rujuk
Apendiks 5) Perdana Menteri Goh
menyebut;
“Saya sekarang memutuskan untuk mengendalikan
sendiri perbincangan kita mengenai pakej dua hala.”
Sekarang barulah seorang yang berkuasa bercakap
(bagi pihak Singapura).
Di dalam apa yang boleh dianggap sebagai komitmen
mutakhir, Perdana Menteri Goh menulis (kepada saya):
1.
Bridge
“Di
antara sebuah jambatan baru bagi menggantikan
keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya
bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada
pilihan pertama.”
“Sebaik sahaja
jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan, yang
mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun
2007.” “Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan
Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan
dengan serta-merta, saya akan menyetujuinya,
walaupun pada pendapat saya ini tidaklah
ideal.”
Apakah
kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan
ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia
dan pembukaan ruang udara kepada kapal terbang
tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang
nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak
dirobohkan selepas tahun 2007.
Sekarang dihujahkan pula bahawa jika Malaysia sentuh
paip yang membawa air ke Singapura, ia adalah
tindakan perang (act of war). Adakah ini
perisytiharan perang?
Peruntukan “Wayleave Agreement” dengan Singapura
cukup jelas. Berikut adalah apa yang dipersetujui
mengenai paip air;
“That the
Licensee (Singapore) shall take full responsibility
financially or otherwise for any alteration to the
pipeline that may become necessary by reason of any
alterations or improvements made or to be made on
the Johor Causeway and on receiving not less than
six months previous notice in writing from the
Licensors (Malaysia) shall thereupon carry out the
alteration in accordance with such notice and shall
have no claim for any compensation.”
[“Bahawa
Pemegang Lesen (Singapura) akan mengambil sepenuh
tanggungjawab kewangan atau sebaliknya bagi sebarang
pindaan kepada saluran paip apabila ia diperlukan
untuk sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau
yang diperlukan di Tambak sebelah negeri Johor dan
apabila menerima notis bertulis enam bulan
sebelumnya daripada Pelesen (Malaysia) akan
melakukan pengubahsuaian itu seperti yang disebutkan
di dalam notis tanpa sebarang tuntutan ganti rugi.”]
Perjanjian itu tidak menyebut mengenai hak Pemegang
Lesen (Singapura) mengingkarinya. Peruntukan “akan
melaksanakan pengubahsuaian” (Shall carry out
the alteration) sangat jelas dan kuat.
Singapura wajib melaksanakan pengubahsuaian itu.
Tetapi jika Singapura ingkar, ia mungkin merupakan
tindakan perang dan bukan sebaliknya.
Apabila kerja awal pembinaan jambatan dimulakan
tidak ada protes dan tidak ada permintaan membeli
pasir atau menggunakan ruang udara kita. Sekarang
pembinaan jambatan di sebelah wilayah kita pun
nampaknya tertakluk kepada syarat kita membekalkan
berjuta meter padu pasir kepada Singapura untuk
menambak laut dan membuka ruang udara kita kepada
jet tentera udaranya. Daripada mana datang semua
syarat ini? Apakah kaitan antara perluasan wilayah
Singapura dengan kita membina jambatan di dalam
wilayah kita sendiri?
Tindak-tanduk Singapura mengaitkan pembinaan
jambatan di wilayah kita dengan tuntutan kita
menjual pasir dan membuka ruang udara kepadanya
tidak berasas sama sekali.
Mengapa Kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi
pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura, jika
tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan
bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar
kemampuan saya memahaminya.
Adalah hak rakyat Malaysia tidak menjual pasir
kepada Singapura atau membuka ruang udara kepadanya.
Tetapi rakyat tidak pernah mengatakan yang mereka
bersedia mengorbankan projek jambatan. Yang mereka
tidak mahu adalah mengalah kepada tuntutan Singapura
supaya kita menjual pasir dan membuka ruang udara.
Mereka mahukan jambatan tetapi mereka juga mahu
Kerajaan mereka menyanggah tuntutan Singapura kerana
di segi undang-undang Malaysia tidak perlu melayan
syarat-syarat Singapura.
Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan.
Tetapi Kerajaan Malaysia gagal mempertahankan
kedaulatan negara. Di samping itu, ia telah
menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat
jelata.
Biarlah rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu,
Melayu Johor terutamanya, ingat bahawa lnggeris
telah menipu Sultan untuk menyerahkan Singapura
dengan percuma kepada mereka (Inggeris).
Seperti Pulau Pinang, Lumut dan Melaka, Singapura
sepatutnya dikembalikan kepada kita apabila lnggeris
melepaskan hak mereka. Tetapi Singapura telah
menjadi begitu asing keadaannya sehingga ia tidak
boleh lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Apakah Malaysia sekarang akan memberi lebih banyak
tanah kepada Singapura supaya ia boleh memperluaskan
wilayahnya dan menambah bilangan penduduknya?
Menyerahkan dasar laut kita kepada Singapura tidak
ada bezanya dengan memberikan bumi kita kepada
Singapura. Kesudahannya ialah perluasan wilayah
Singapura. Ia tidak ada bezanya dengan menyerahkan
sebahagian daripada Johor untuk tujuan ini. Apakah
kita begitu miskin sehingga kita perlu menjual
sekeping bumi kita kepada orang lain?
Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada
Melayu atau Johor, akan menyumpah kita jika kita
melakukan semua ini sedangkan kita berhak membina
jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri sebagai
sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Cukuplah kita menyerahkan Singapura (kepada
Inggeris). Tidak perlulah kita menyerahkan lagi
tanah kita kepada Singapura walaupun ada orang yang
berpendapat kita hanya boleh membina jambatan di
negara kita jika Singapura bersetuju.
Rakyat Malaysia tidak pernah mengatakan demikian.
Janganlah ada sesiapa yang menyumbat hujah ke dalam
mulut mereka semata-mata kerana orang itu takut
untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara serta
rakyat Malaysia.
Dr. Mahathir bin Mohamad
Nota Editor:
1. Lihat
www.akadirjasin.com untuk mengesahkan kebenaran
surat ini.