FREE SPEECH | talkingcock | whatreallyhappened | re-open 911 | jeffooi
   Home
Berita Harian
Utusan Malaysia
Bernama
Harian Metro
The Star
New Straits Times
   Arkib
   Siapa Kami
 

  Siapa Kami? (This site is best view with I.E. 5.0/above)

Walauapapun rintangan yang dihadapi, keikhlasan dan kejujuran merupakan senjata ampuh yang bakal dimiliki oleh pejuang-pejuang siber tanpa nama, identiti dan kedudukan. Ini bukan laman web politik yang menjadi kebanggaan segelintir individu yang menggelarkan diri mereka pejuang tetapi terbang dan hinggap dimana-mana dahan yang memberi kepentingan kepada mereka. Namun bagi mereka yang tidak bernama, yang jujur dan ikhlas membantu Kerajaan melalui kaedah yang dirasakan berkesan terlebih dahulu diucapkan SELAMAT BERJUANG!

Kadangkala tulisan berbentuk terlalu akademik tidak memberikan menafaat kepada mereka yang lebih gemar membaca tulisan-tulisan yang agresif. Bahasa yang ditonjolkan dilaman web ini merupakan bahasa rakyat yang mudah difahami didalam percakapan harian mereka. Didalam setiap tulisan yang dipaparkan, pastinya ada iktibar yang perlu difikirkan oleh mereka yang sanggup menerima cabaran.

Pahlawan Siber – Setia Berjuang Tanpa Nama, Tanpa Kedudukan

Tahun 1998 menjadi detik permulaan era fitnah siber laman-laman web pembangkang.

Walaupun fitnah terhadap kerajaan di dalam alam siber telah bermula lebih awal sebelum itu, 1998 menjadi saat terserlahnya kebiadapan, sifat keji dan politik kotor pembangkang.

Tidak ada batas etika, pertimbangan dosa dan pahala, malah tiada pertimbangan yang dibuat terhadap kesan fitnah tersebut terhadap ekonomi negara.

Pembangkang pernah menyebarkan berita kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meninggal dunia akibat terjatuh ketika menunggang kuda di Argentina.

Mereka juga pernah mendakwa kononnya kerajaan cuba meracuni bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan racun arsenik dan cuba menyuntiknya dengan virus AIDS.

Terdapat juga pelbagai tuduhan rasuah dan salah laku seks pemimpin-pemimpin tertentu yang sehingga sekarang masih tidak dapat dibuktikan.

Pelbagai forum perbincangan, `chat rooms' dan `mailing-list' telah digunakan secara begitu aktif untuk menyebarkan segala fitnah ini kepada orang ramai.

Alhamdulillah, ketika itu pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan tidak bersendirian.

Lahir aktivis-aktivis perang siber yang ikhlas berjuang demi mempertahankan UMNO, Barisan Nasional dan kepentingan majoriti rakyat.

Apa yang menakjubkan, ada di kalangan mereka yang masih belum menjadi ahli UMNO, tetapi sanggup berjuang dengan bersungguh-sungguh kerana percaya dan bersimpati dengan perjuangan UMNO.

Umum mengetahui bahawa tugas menangkis serangan lawan pada tahun 1999 bukan mudah. Lebih sukar lagi apabila terpaksa menentang lawan secara bersendirian tanpa sebarang sokongan dan bantuan.

Adakalanya pejuang-pejuang ini tewas kerana tidak mempunyai maklumat yang mencukupi. Adakalanya, kerana lawan yang dihadapi terlalu ramai dan pejuang-pejuang ini tidak mempunyai cukup masa untuk menangkis begitu banyak pembohongan.

Dalam keadaan-keadaan tertentu ada juga lawan yang mengirim `virus' kerana tidak dapat menerima kekalahan.

Hari ini, pihak lawan masih terus memfitnah UMNO dan kerajaan. Bagaimanapun, setiap kali fitnah dilemparkan oleh pihak lawan, pahlawan-pahlawan siber pro-UMNO dan pro-kerajaan pasti bangkit dan akan bersungguh-sungguh berusaha mematahkannya, biarpun dalam banyak keadaan tanggungjawab itu terpaksa dipikul berseorangan.

Sepanjang perjuangan tulus kita di alam siber, kita adalah ibarat pahlawan yang setia berjuang tanpa nama dan tanpa kedudukan.

Justeru, ucapan YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi semasa merasmikan Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam tahun 2003 yang berbunyi,

"Saya yakin ramai ahli Umno yang tidak `bernama’, yang tidak berjawatan, yang tidak berkedudukan, yang sekalipun tidak pernah menjejak kaki di dewan ini, apalagi dapat bersua Perdana Menteri, mereka memiliki semangat kesetiaan dan perjuangan yang tulen, bersih dan hening hati nuraninya.

“Saya berpegang bahawa niat suci mereka, usaha murni mereka, keikhlasan mereka, telah memudahkan para malaikat, mengangkat doa mereka ke pintu langit yang terbuka, lalu mendapat makbul Allah swt, lalu negara kita dilimpahi berkat, UMNO masih selamat dan seluruh rakyat mendapat rahmat," amat menyentuh perasaan kita.

Penubuhan CyberTroopers merupakan hasrat murni untuk memastikan pejuang-pejuang siber yang setia kepada UMNO dan kerajaan ini tidak lagi berjuang berseorangan.

CyberTroopers akan berusaha untuk menjadi wadah penyebaran maklumat dan ruang mendapatkan sokongan dari rakan-rakan.

CyberTroopers percaya melalui kesatuan tenaga, hati dan fikiran, Insyallah kita akan berjaya di dalam perjuangan.

Ayuhlah rakan-rakan, pahlawan siber. Marilah kita semua bersatu di bawah satu panji-panji agar niat suci kita untuk menegakkan kebenaran dan menangkis pembohongan dapat kita lakukan secara pantas, tersusun dan berkesan.

Seperti perjuangan kita sejak tahun 1998, asalkan kita ikhlas, Insyaallah UMNO akan terus selamat dan rakyat akan mendapat rahmat

 

Copyright © 2006 suarajohor.tripod.com. All rights reserved. Last updated 05/10/2006